Sunday, August 22, 2010

Usah salahkan orang lain jika gagal

SETIAP orang pasti mengalami pengalaman menghadapi kegagalan. Tidak kiralah gagal dalam peperiksaan, gagal dalam bercinta atau gagal dalam pertandingan. Selalunya apabila gagal, kita pasti akan mencari pelbagai alasan. Jika gagal dalam peperiksaan, kita mungkin mengatakan guru tidak pandai mengajar, cikgu tidak mahir subjek berkenaan, sekolah tidak bagus, ayah ibu tidak ambil peduli, peralatan belajar kurang dan pelbagai alasan lagi. Jarang kita mengatakan pada diri, 'memang aku malas belajar', atau 'memang aku tidak berusaha dari awal lagi', atau 'aku malas berusaha'. Memang sudah menjadi sifat semula jadi manusia, gemar mencari dan memberi alasan dalam setiap perkara. Kelemahan sendiri jarang pula dilihat, apatah lagi hendak mengakui punca kegagalan kerana kelemahan diri sendiri. Namun, mencari alasan tidak akan menyelesaikan masalah. Malah, memberi alasan bererti kita berusaha melindungi sebab sebenar sesuatu masalah itu.
Kita lebih selamat dengan menyalahkan pihak lain tetapi sebenarnya itu tidak membantu untuk memperbaiki diri sendiri. Jangan pula menjadi seperti bangau dalam lagu 'Bangau Oh Bangau', meletakkan kesalahan pada si ikan yang tidak timbul apabila dirinya kurus, begitu juga si ikan yang meletakkan kesalahan pada pihak lain pula dan begitulah seterusnya, seolah-olah masing-masing tidak pernah buat salah, yang tahu hanya menyalahkan orang lain. Jelas, apabila seseorang itu sedar dirinya bermasalah atau masalah itu berpunca daripada kelemahan dirinya sendiri, dia akan berusaha keras untuk memperbaiki kelemahannya. Jika dia masih berbangga dengan keupayaannya mencari alasan, masalah tidak akan selesai. Allah juga ada mengingatkan hambanya bahawa sesuatu perkara itu tidak akan berubah sekiranya manusia itu sendiri tidak mahu berusaha mengubah dirinya. (Maksud surah Ar-Ra'd ayat 11). Berusahalah mengatasi kelemahan diri dengan cara positif. Jangan salahkan orang lain sebelum mencari kelemahan sendiri.
Orang lain mungkin bersalah tapi itu bukan alasan untuk kita terus gagal. Jika kita terjatuh di jalanan kerana tersepak batu, wajarkah kita menyalahkan batu kerana ada di situ, cuba renungkan mengapa orang lain yang melalui jalan itu tidak jatuh? Mengapa hanya kita? Mungkin kerana kita kurang berhati-hati atau terlebih cuai. Jadi, sewajarnya kita tidak mencari alasan untuk gagal atau mencari alasan apabila sudah gagal kerana setiap usaha keras dan keyakinan yang mantap terhadap diri sendiri akan membuahkan hasil setimpal. Masih belum terlambat untuk kita bermuhasabah diri atas setiap masalah dihadapi, mencari kelemahan dan kekurangan kita, agar dapat mencari titik permulaan untuk mengorak langkah ke arah kehidupan positif dan cemerlang.

Bersumpah disambar petir

SOALAN:
SAYA mendirikan rumah tangga tiga tahun lalu. Suami saya penagih dadah dan pernah dua kali ditahan polis. Dia terbabit dalam gejala dadah sejak kami belum kahwin lagi tetapi berjanji untuk berubah. Dia mempunyai kesungguhan untuk berubah dengan mendekatkan diri pada Allah, walau bagaimanapun semua itu tidak bertahan lama kerana dia sering terpengaruh dengan ajakan rakannya untuk mengambil najis itu semula. Baru-baru ini kami bertengkar dan saya memaki hamunnya kerana kesabaran saya semakin meruncing selain sangat kecewa dia masih tidak berubah sedangkan dia berjanji meninggalkan tabiat buruknya itu. Saya juga menghalaunya keluar daripada rumah tetapi dia berkata dia menyayangi saya dan anak. Pada malam itu juga saya berkata padanya, jika mahu saya menerimanya semula, dia harus bersumpah di atas al-Quran dia tidak akan terbabit lagi dengan dadah. Juga, pada masa yang sama, dia mahu saya bersumpah yang saya tidak akan memarahi dan meninggikan suara padanya. Kami bersetuju dan jika salah seorang melanggar sumpah, dia akan disambar petir. Ia mungkin kedengaran lucu tetapi itulah yang kami lafazkan.
Adakah sumpah yang dilafazkan itu sah dan akan disambar petir jika saya melanggarnya? Ketika melafaznya saya dalam keadaan haid, adakah ia dikira sah? Saya bimbang jika ia benar-benar terjadi.
JAWAPAN:
NURUL Allah ada menyatakan dalam al-Quran antara sifat manusia ialah sering gelisah dan terburu-buru. Adakalanya dalam usaha menjadi baik, kita terperangkap dalam sumpah yang menggunakan al-Quran, termasuk sumpah supaya kecelakaan menimpa diri sendiri. Begitupun, sifat-Nya yang Maha Mengetahui, Pengasih dan Penyayang, Allah akan memakbulkan apa yang baik untuk hamba-Nya. Dalam hal ini, sumpah yang dilafazkan dalam keadaan haid adalah sah. Persoalan sama ada jika terlanggar sumpah akan dipanah petir atau tidak, hanya Allah mengetahuinya. Ajal dan maut adalah kuasa Allah dan bukan tilikan atau permohonan manusia. Jika mahu menjadi baik, sebaik- baiknya bernazar untuk melakukan kebaikan dan bukan menyumpah diri sendiri. Mohonlah keampunan daripada Allah dan berdoa supaya puan dan suami terhindar daripada bala dan malapetaka. Minta dikuatkan hati untuk menjadi orang yang baik dan berubah ke arah kebaikan. Jangan berdoa dengan perkara yang boleh memudaratkan puan dan suami.

Tanda ajal

TERSEBAR dalam internet mengenai tanda sebelum ajal bagi umat Islam menjelang 100 hari sebelum kematiannya iaitu badan akan mengalami getaran sesudah asar, 40 hari sebelum meninggal akan berdenyut pusat, dan sebagainya.
Sejauh mana kesahihan tanda berkenaan? Ada yang mengatakan ia pandangan segelintir ulama dan apakah hukum jika ia diambil sebagai iktikad? RAMLYPerak DARI sudut akidah, kita hendaklah beriman bahawa manusia dan seluruh makhluk termasuk juga jin dan malaikat tidak mati sehingga sampai ajalnya sebagaimana yang ditetapkan Allah. Kematian berlaku atas sebab semula jadi seperti tua atau sakit atau mati terbunuh (Ayyub, 1979: 207). Soal ajal atau kematian termasuk dalam persoalan ghaybiyyah (perkara-perkara ghaib) yang hanya diketahui Allah.
Ini berdasarkan apa yang dijelaskan Allah dalam al-Quran, antaranya:
"Sesungguhnya di sisi Allah pengetahuan yang tepat tentang hari Kiamat. Dan Dialah jua yang menurunkan hujan, dan yang mengetahui tentang apa yang ada dalam rahim (ibu mengandung). Dan tiada seorang pun yang betul mengetahui apa yang akan diusahakannya esok; dan tiada dapat diketahui oleh seseorang itu di bumi negeri manakah ia akan mati. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Amat Meliputi pengetahuan-Nya." (al-Quran, Luqman (31: 34).
Tentang tanda ajal pula yang disebut dan tersebar di Internet, ia hanya berdasarkan pengalaman hidup manusia semata-mata (contohnya, http://www.scribd.com/doc/19192297/tandatanda-kematian). Penjelasan urutan harian tentang tanda-tanda kematian tersebut tidak bersumber al-Quran dan hadis secara langsung. Dengan itu ia tidak termasuk dalam aspek akidah. Ia hanya bertujuan supaya kita mengingati kematian dan seterusnya beramal supaya dapat dijadikan bekalan di akhirat nanti.

Iran pamer pesawat terbaru

TEHERAN: Presiden Iran, Mahmoud Ahmadinejad, semalam merasmikan pesawat pengebom jarak jauh tanpa juruterbang ciptaan negara itu, Karar, yang beroperasi dengan kelajuan tinggi.Siaran televisyen negara itu menunjukkan Mahmoud bertepuk tangan ketika kain biru menutup Karar (Penyerang) dialihkan dan pesawat pendek hijau itu dilihat orang ramai.
Siaran sama turut menayangkan rakaman pesawat itu terbang, manakala agensi berita Fars memetik Menteri Pertahanan, Ahmad Vadidi, berkata ia boleh terbang sejauh 1,000 kilometer.
“Sebelum jet ini mengutuskan kematian kepada musuh, ia adalah mesej kebebasan dan maruah bagi kemanusiaan,” katanya ketika berucap pada majlis pelancaran di Universiti Malek Ashtar itu.
Stesen televisyen tempatan berkata, pesawat tanpa juruterbang itu dibina untuk ‘membawa dan menembak empat peluru berpandu dan bergantung kepada misi, ia boleh membawa dua bom seberat 115 kilogram setiap satu, atau sebutir bom seberat sehingga 226 kilogram’.
Sementara itu, Mahmoud berkata, kemampuan ketenteraan Iran sepatutnya mampu bertindak sebelum peluru musuh sempat dilancarkan ke negara itu. “Dan jika kita gagal, kita sepatutnya memusnahkan ia sebelum tiba di sasaran,” katanya.
Karar diperkenalkan sempena sambutan ulang tahun Hari Industri Pertahanan Iran dan dua hari selepas negara itu menguji peluru berpandu darat ke darat, Qiam (Bangkit).
Iran dijangka terus mengumumkan kejayaan ketenteraannya sempena sambutan ‘Minggu Kerajaan’ yang dipenuhi dengan langkah menzahirkan kejayaan dicapai negara itu. Republik Islam berkenaan juga dijangka menguji peluru berpandu generasi ketiga Fateh (Penakluk) yang mempunyai jarak sasaran di antara 150 hingga 200 kilometer. - AFP

Syukuri Nikmat Tuhan..

Dari Abdullah bin Amru bin 'Ash r.a. katanya, Rasulullah S.A.W. bersabda:

"Sungguh amat beruntunglah orang yang Islam (berserah diri) dan merasa cukup dengan apa yang direzekikan Allah serta berpada dengan apa yang diberikan-Nya". Hadis Riwayat Muslim.