TERSEBAR dalam internet mengenai tanda sebelum ajal bagi umat Islam menjelang 100 hari sebelum kematiannya iaitu badan akan mengalami getaran sesudah asar, 40 hari sebelum meninggal akan berdenyut pusat, dan sebagainya.
Sejauh mana kesahihan tanda berkenaan? Ada yang mengatakan ia pandangan segelintir ulama dan apakah hukum jika ia diambil sebagai iktikad? RAMLYPerak DARI sudut akidah, kita hendaklah beriman bahawa manusia dan seluruh makhluk termasuk juga jin dan malaikat tidak mati sehingga sampai ajalnya sebagaimana yang ditetapkan Allah. Kematian berlaku atas sebab semula jadi seperti tua atau sakit atau mati terbunuh (Ayyub, 1979: 207). Soal ajal atau kematian termasuk dalam persoalan ghaybiyyah (perkara-perkara ghaib) yang hanya diketahui Allah.
Ini berdasarkan apa yang dijelaskan Allah dalam al-Quran, antaranya:
"Sesungguhnya di sisi Allah pengetahuan yang tepat tentang hari Kiamat. Dan Dialah jua yang menurunkan hujan, dan yang mengetahui tentang apa yang ada dalam rahim (ibu mengandung). Dan tiada seorang pun yang betul mengetahui apa yang akan diusahakannya esok; dan tiada dapat diketahui oleh seseorang itu di bumi negeri manakah ia akan mati. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Amat Meliputi pengetahuan-Nya." (al-Quran, Luqman (31: 34).
Tentang tanda ajal pula yang disebut dan tersebar di Internet, ia hanya berdasarkan pengalaman hidup manusia semata-mata (contohnya, http://www.scribd.com/doc/19192297/tandatanda-kematian). Penjelasan urutan harian tentang tanda-tanda kematian tersebut tidak bersumber al-Quran dan hadis secara langsung. Dengan itu ia tidak termasuk dalam aspek akidah. Ia hanya bertujuan supaya kita mengingati kematian dan seterusnya beramal supaya dapat dijadikan bekalan di akhirat nanti.
No comments:
Post a Comment