Sunday, August 22, 2010

Bersumpah disambar petir

SOALAN:
SAYA mendirikan rumah tangga tiga tahun lalu. Suami saya penagih dadah dan pernah dua kali ditahan polis. Dia terbabit dalam gejala dadah sejak kami belum kahwin lagi tetapi berjanji untuk berubah. Dia mempunyai kesungguhan untuk berubah dengan mendekatkan diri pada Allah, walau bagaimanapun semua itu tidak bertahan lama kerana dia sering terpengaruh dengan ajakan rakannya untuk mengambil najis itu semula. Baru-baru ini kami bertengkar dan saya memaki hamunnya kerana kesabaran saya semakin meruncing selain sangat kecewa dia masih tidak berubah sedangkan dia berjanji meninggalkan tabiat buruknya itu. Saya juga menghalaunya keluar daripada rumah tetapi dia berkata dia menyayangi saya dan anak. Pada malam itu juga saya berkata padanya, jika mahu saya menerimanya semula, dia harus bersumpah di atas al-Quran dia tidak akan terbabit lagi dengan dadah. Juga, pada masa yang sama, dia mahu saya bersumpah yang saya tidak akan memarahi dan meninggikan suara padanya. Kami bersetuju dan jika salah seorang melanggar sumpah, dia akan disambar petir. Ia mungkin kedengaran lucu tetapi itulah yang kami lafazkan.
Adakah sumpah yang dilafazkan itu sah dan akan disambar petir jika saya melanggarnya? Ketika melafaznya saya dalam keadaan haid, adakah ia dikira sah? Saya bimbang jika ia benar-benar terjadi.
JAWAPAN:
NURUL Allah ada menyatakan dalam al-Quran antara sifat manusia ialah sering gelisah dan terburu-buru. Adakalanya dalam usaha menjadi baik, kita terperangkap dalam sumpah yang menggunakan al-Quran, termasuk sumpah supaya kecelakaan menimpa diri sendiri. Begitupun, sifat-Nya yang Maha Mengetahui, Pengasih dan Penyayang, Allah akan memakbulkan apa yang baik untuk hamba-Nya. Dalam hal ini, sumpah yang dilafazkan dalam keadaan haid adalah sah. Persoalan sama ada jika terlanggar sumpah akan dipanah petir atau tidak, hanya Allah mengetahuinya. Ajal dan maut adalah kuasa Allah dan bukan tilikan atau permohonan manusia. Jika mahu menjadi baik, sebaik- baiknya bernazar untuk melakukan kebaikan dan bukan menyumpah diri sendiri. Mohonlah keampunan daripada Allah dan berdoa supaya puan dan suami terhindar daripada bala dan malapetaka. Minta dikuatkan hati untuk menjadi orang yang baik dan berubah ke arah kebaikan. Jangan berdoa dengan perkara yang boleh memudaratkan puan dan suami.

No comments:

Post a Comment