Sunday, August 22, 2010

Iran pamer pesawat terbaru

TEHERAN: Presiden Iran, Mahmoud Ahmadinejad, semalam merasmikan pesawat pengebom jarak jauh tanpa juruterbang ciptaan negara itu, Karar, yang beroperasi dengan kelajuan tinggi.Siaran televisyen negara itu menunjukkan Mahmoud bertepuk tangan ketika kain biru menutup Karar (Penyerang) dialihkan dan pesawat pendek hijau itu dilihat orang ramai.
Siaran sama turut menayangkan rakaman pesawat itu terbang, manakala agensi berita Fars memetik Menteri Pertahanan, Ahmad Vadidi, berkata ia boleh terbang sejauh 1,000 kilometer.
“Sebelum jet ini mengutuskan kematian kepada musuh, ia adalah mesej kebebasan dan maruah bagi kemanusiaan,” katanya ketika berucap pada majlis pelancaran di Universiti Malek Ashtar itu.
Stesen televisyen tempatan berkata, pesawat tanpa juruterbang itu dibina untuk ‘membawa dan menembak empat peluru berpandu dan bergantung kepada misi, ia boleh membawa dua bom seberat 115 kilogram setiap satu, atau sebutir bom seberat sehingga 226 kilogram’.
Sementara itu, Mahmoud berkata, kemampuan ketenteraan Iran sepatutnya mampu bertindak sebelum peluru musuh sempat dilancarkan ke negara itu. “Dan jika kita gagal, kita sepatutnya memusnahkan ia sebelum tiba di sasaran,” katanya.
Karar diperkenalkan sempena sambutan ulang tahun Hari Industri Pertahanan Iran dan dua hari selepas negara itu menguji peluru berpandu darat ke darat, Qiam (Bangkit).
Iran dijangka terus mengumumkan kejayaan ketenteraannya sempena sambutan ‘Minggu Kerajaan’ yang dipenuhi dengan langkah menzahirkan kejayaan dicapai negara itu. Republik Islam berkenaan juga dijangka menguji peluru berpandu generasi ketiga Fateh (Penakluk) yang mempunyai jarak sasaran di antara 150 hingga 200 kilometer. - AFP

No comments:

Post a Comment